Friday, November 29, 2013

IKHLAS DAN HUBUNGANNYA DENGAN ISLAM, IMAN & IHSAN..

1.0  KONSEP IKHLAS

1.1  Definisi Ikhlas

Dalam bahasa arab, perkataan ikhlas ini dikatakan  sebagai kata masdar daripada kata akar “khalasa” atau “khalisan” yang membawa maksud bersih dan murni. Kata akar ini kemudiannya berubah menjadi kata masdar “ ikhlas”.

      Merujuk kepada kitab suci al-Qur’an al-Karim, apa yang dikatakan sebagai ikhlas itu ialah melaksanakan segala amalan atau perbuatan dengn bermatlamatkan Allah s.w.t sebagai punca utama dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada-Nya. Sepertimana firman Allah yang termaktub dalam al-Qur’an:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لله رَبِّ العَالَمِيَ ﴿۱٦٢﴾
لَا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ ﴿١٦۳﴾
 sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya dan denganyang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku). Adalah orang islam tyang pertama ( yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)”
(al-Qur’an, 6: 162-163)


Menurut Kamus Mu’jam al-Wasit, ikhlas di definisikan sebagai kalimah tauhid. Perbahasan  ini selaras dengan satu pendapat yang menyatakan bahawa ikhlas dengan pengertian sebegini merupakan buah yang sempurna bagi tauhid yang sempurna kepada Allah. Hal ini dapat diperjelaskan lagi melalui firman Allah s.w.t dalam kitab suci al-Qur’an:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنَ ﴿٥﴾
“Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan”.
(al-Qur’an, 1:5)

 Kamus Dewan edisi keempat  pula mendefinisikan ikhlas sebagai perlaksanaan terhadap sesuatu dengan hati yang suci tanpa mengharapkan balasan, tidak menipu dan tidak berpura-pura.

Menurut pendapat imam al-Ghazali dalam kitab ihya ulumuddin, ikhlas dari sudut bahasanya adalah bermaksud perbuatan yang bersih, tulus serta murni. Manakala dari segi istilahnya pula ialah segala perbuatan yang dilaksanakan dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata tanpa menyekutukannya beserta dengan niat yang murni kerana-Nya.

      Oleh yang demikian, orang yang bersifat ikhlas adalah mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan hanya kerana Allah tanpa dicemari oleh  sebarang  sifat riya’ atau bangga diri. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam kitab suci al-Qur’an :

من بين فرث ودم لبنا خالصا ساءىغا للشربين ﴿٦٦﴾
“daripada apa yang berada dalam perutnya(berupa) susu yang bersih                           antara kotoran dan darah yang mudah ditelan bagi orang-orang yang meminumnya.”
(al-Qur’an 16: 66)

      Imam al-Ghazali turut menjelaskan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan akan dianggap murni apabila perbuatan tersebut dilakukan kerana Allah semata-mata tanpa melibatkan sifat riya’.  ( al-Ghazali: ihya’ ulumuddin, 2008:421)
           
1.2   Ikhlas Menurut  Pandangan Ulamak Lain

Ikhlas merupakan salah satu  pecahan daripada  rangkaian sifat-sifat mahmudah yang terdapat  dalam ilmu tasawwur islam. Dalam konteks ini, para ulamak turut menyatakan pendapat mereka mengenai pengertian ikhlas. Antara ulamak tersebut termasuklah Sayyid Sabiq. Beliau telah merumuskan sifat ikhlas itu sebagai suatu amalan yang disengajakan oleh seorang manusia dari sudut perkataan, amalan dan jihadnya semata-mata hanya kerana Allah s.w.t. dan ia bukanlah kerana mengharapkan kepada harta kekayaan, pujian , kemasyhuran serta pangkatnya. Amalan mereka ini akan terhindar daripada segala kekurangan dan kehinaan.

            Menurut al-Junaid pula, sifat ikhlas itu adalah merupakan suatu pembersihan amalan daripada segala unsur dan perkara yang boleh merosakkannya. Ikhlas menurut pendapat al-Fudhail pula ialah meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia lain adalah riyak dan melakukan sesuatu amalan kerana manusia lain pula disebut sebagai syirik, sedangkan ikhlas itu adalah melakukan atau meninggalkan sesuatu perbuatan semata-mata hanya kerana Allah s.w.t. ( Ibid: 422)

            As-Suusy pula mengatakan bahawa ikhlas ialah  hilangnya sifat ikhlas itu sendiri daripada pandangan. Maksudnya  di sini,  orang yang merasakan perbuatan yang telah dilakukannya sudah  didasari dengan sifat  ikhlas masih memerlukan nilai keikhlasan dalam diri mereka. Hal ini kerana wujudnya hakikat ikhlas dalam sesuatu perbuatan hanya boleh diketahui oleh Allah s.w.t sahaja. (Ahmad Faried, 2004: 5)

            Berdasarkan pandangan ulamak di atas, sifat ikhlas adalah merupakan suatu sifat yang cukup besar dan hebat impaknya terhadap setiap amalan umat manusia tetapi hakikatnya hanya terserah kepada kekuasaan Allah s.w.t. tanpa dapat diketahui dan diagak oleh makhluk ciptaannya. Berdasarkan hakikat inilah lahirnya satu analogi yang mengatakan bahawa ikhlas itu adalah seumpama semut hitam yang berada diatas batu hitam  yang terletak di dalam gua yang gelap dimana hakikat keberadaannya tidak akan dapat dilihat dan diagak oleh sesiapa melainkan Allah s.w.t.

1.3   Kedudukan Ikhlas Dalam Amalan Manusia.

Ikhlas merupakan satu  unsur yang cukup penting dalam setiap amalan yang dilaksanakan oleh setiap muslim. Sebagaimana yang diketahui, niat merupakan titik yang paling utama dalam setiap amalan. Maka ikhlas ini pula adalah sebagai dasar kepada niat dan sebagai ukuran kepada sesuatu perbuatan. Setiap perbuatan yang dilakukan itu akan dinilai  bergantung kepada niat, tetapi sejauh mana amalan itu diterima bergantung pula pada tahap keikhlasan seseorang muslim itu sendiri. Hal ini jelas menunjukkan hubungan yang berlaku antara keduanya. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنَّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat”
(HR: Bukhari dan Muslim)

      Hadis di atas dianggap sebagai hadis pokok yang utama dalam menceritakan suatu keperluan utama dalam hati setiap muslim iaitu niat hati yang ikhlas ketika melaksanakan sesuatu ibadah. Jika rosak niatnya, maka rosaklah amalannya. ( Musthafa Muhammad Tahhan, 2001: 17)

      Selain itu, ikhlas juga merupakan suatu perkara yang paling sukar bagi nafsu.kesukaran ini bukan sahaja melanda masyarakat muslim awam, bahkan turut melanda para alim ulamak. Tidak semua daripada mereka yang boleh mengesan kesukarannya dan boleh mengatasinya meskipun mereka ini datangnya dari golongan yang soleh. Hal ini kerana iman kita sentiasa bertambah dan berkurang tanpa bermusim. Dengan berubahnya hati, maka mudahlah untuk kita tersasar daripada landasan ikhlas. Sufyan al-Thauri mengatakan bahawa tidak ada sesuatu yang lebih sukar melainkan untuk menetapkan hati dan niat yang sentiasa berubah-ubah.
 ( Umar Sulaiman al-Asyqar, 2001: 26)

      Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas maka jelaslah bahawa sifat ikhlas itu berada pada kedudukan yang tertinggi dalam setiap aspek kehidupan seorang muslim selepas niat. Justeru, kita disarankan supaya berdoa selepas berniat untuk melaksanakan sesuatu bagi menetapkan iman dan hati agar tidak berbolak balik. Sebagaimana doa yang sering dibaca oleh Nabi s.a.w:

اللهُمَّ يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ وَطَاعَتِكَ.
“ wahai tuhan yang maha membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu”

1.4   Pembahagian Sifat  Ikhlas.

Bagi memastikan pengertian ikhlas dapat dihayati dengan lebih jelas, sifat ikhlas telah diasing dan dipecahkan mengikut tingkatannya sendiri. Umumnya, ikhlas terbahagi kepada tiga tingkat utama iaitu:

                                            i.            Ikhlas Awwam: iaitu perlaksanaan sesuatu ibadah yang berlandaskan perasaan takut kepada siksaan Allah dan mengharapkan balasan-Nya semata-mata.

                                          ii.            Ikhlas Khawas: iaitu melaksanakan ibadah kepada Allah atas dorongan harapan dan keinginan untuk menjadi orang yang dekat dengan Allah. Kemudian dengan hubungan yang dekat itulah yang membolehkan seseorang itu mendapat sesuatu ganjaran daripada Allah s.w.t.


                                        iii.            Ikhlas Khawas al-Khawas: iaitu beribadah kepada Allah disebabkan kesedaran bahawa segala nikmat yang diperoleh adalah daripada Allah s.w.t dan meyakini bahawa Allah adalah tuhan yang sebenar.

Berdasarkan penjelasan di atas, orang yang benar-benar ikhlas dan tulus adalah mereka yang berada pada tahap yang ketiga. Hal ini kerana mereka ini adalah golongan yang melaksanakan sesuatu amalan  dengan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada Allah s.w.t. dan ikhlas pada tahap ini hanyalah terletak pada amalan mereka yang “arif  billah”.  Ikhlas pada tingkat pertama dan yang kedua masih tidak  begitu sempurna kerana kedua-duanya masih mengandungi unsur pengharapan kepada balasan Allah s.w.t.

Selain itu, sifat ikhlas ini juga turut dikelaskan mengikut jenis dan istilah tertentu. Antaranya ialah:

                                                                    i.            Ikhlas Mubtadi’: seseorang itu melaksanakan amalan kerana Allah tetapi hatinya masih lagi tersangkut pada keinginan dunia yang mana ibadah yang dilakukan adalah bertujuan untuk menghilangkan kesulitan diri. Mereka ini beribadah kerana menginginkan hasil daripada usaha mereka. Apabila keperluannya dirasakan mencukupi maka tiada lagi istiqomah dalam beribadah.

                                                                  ii.            Ikhlas A’bid: seseorang itu beribadah kepada Allah dengan hati yang bersih daripada sifat riya’ dan keinginan dunia. Ibadah yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah di samping untuk mendapatkan kebahagian serta yakin bahawa ibadahnya boleh menjauhkan diri daripada api neraka.

                                                                iii.            Ikhlas Muhib: seseorang yang beribadah semata-mata kerana Allah tetapi bukan bermotifkan keinginan kepada syurga atau ketakutan pada neraka tetapi ibadahnya adalah kerana memenuhi perintah-Nya serta mengagungkan-Nya.

                                                                iv.            Ikhlas Arif: seseorang yang beribadah tetapi merasakan bahawa yang beribadah itu bukanlah dirinya. Bahkan seseorang itu merasakan seolah-olah dia menyaksikan dirinya sedang  digerakkan oleh Allah s.w.t. hal ini kerana dia meyakini bahawa hanya Allah yang boleh menentukan segala daya upaya yang ada untuk dia melaksanakan ketaatan atau kemaksiatan.
 
Sesuai dengan fungsinya sebagai unsur yang terpenting dalam ibadah, sifat ikhlas ini tidak akan dapat dicapai oleh manusia yang beriman melainkan seseorang itu menepati rukunnya. Secara umumnya, ikhlas mempunyai dua rukun utama yang membolehkan seseorang itu menghayati sifat ikhlas itu sendiri. Pertama ialah hatinya hanya bermatlamatkan Allah ketika beramal dan kedua ialah melaksanakan ibadah mengikut aturan yang sesuai dengan syariat islam.
(pembahagian sifat ikhlas, http://www.muhammadzacky.com, 01 November 2013)

1.5  Ciri-Ciri Orang Yang Ikhlas.

Sifat ikhlas yang ada pada diri seseorang muslim dapat dibuktikan melalui tabiat dalam setiap pelaksanaan terhadap sesuatu perbuatannya. Antara ciri-ciri muslim yang bersifat ikhlas ialah:

                                  i.            Sentiasa bersungguh-sungguh dalam setiap amalan yang dilaksanakan dan sentiasa istiqomah tidak kira sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai.

                           ii.            Sentiasa berusaha menjauhi setiap perkara yang diharamkan oleh syariat tanpa mengira tempat dan waktu keberadaannya. Tujuannya adalah bermatlamatkan redha Allah s.w.t

                                   iii.            Berasa senang apabila dapat melaksanakan sesuatu amalan atau ibadah tanpa pengetahuan orang di sekeliling dn sentiasa bersedia membantu mereka jika memerlukan sebarang bantuan.

                                        iv.            Berasa  takut dan sentiasa berusaha untuk mengelak daripada populariti dan                      kemasyhuran dalam sitiap amalan yang telah dan akan dilaksanakan.

                               v.            Sentiasa merasakan bahawa diri sendiri sebagai orang yang berlebihan di sisi Allah dan kurang sempurna dalam melaksanakan kewajipan.

                         vi.            Sentiasa berasa takut  dengan keburukan yang  tidak terampun dan merasakan setiap kebaikan yang dilakukan masih tidak mencukupi.

                                    vii.            Tidak mudah untuk menerima dan tenggelam dalam pujian yang diberikan kepadanya.

                                    viii.            Sentiasa bersabar dan berusaha untuk menahan peraaan marah.

                                        ix.            Mendahulukan pandangan Allah berbanding pandangan manusia sekeliling.

Berpandukan ciri-ciri yang tersenarai di atas, maka jelaslah bahawa mereka yang bersifat dengan sifat ikhlas ini adalah tergolong dalam kalangan mereka yang benar-benar beriman dan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t. (Yusof al-Qardawi,2004: 127)



2.0  HUBUNGAN SIFAT IKHLAS DENGAN  ISLAM,IMAN DAN IHSAN.

Apabila diteliti secara mendalam, maka kita akan mendapati bahawa tiga elemen utama yang perlu ada dalam diri setiap muslim ini sangat berkait rapat dengan unsur keikhlasan. Hal ini dapat dibuktikan sejak dari awal lafaz penyaksian kepada keislaman lagi iatu:

 أن لَا اِلَهَ اِلَّا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ محمد رَسُولَ الله  أشهد
“ aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi lagi bahawa  Nabi Muhammad  itu adala pesuruh Allah”

Dapat diperhatikan daripada lafaz penyaksian diatas bahawa ianya adalah suatu syarat kepada keislaman kepada sesorang yang bergelar muslim. Lafaz ini juga menunjukkan bahawa seseorang itu bersedia untuk  beriman dan mentauhidkan Allah s.w.t. Dengan menghayati kalimah ini sahaja sebenarnya telah menghuraikan segala persoalan berkaitan sifat ikhlas, islam , iman dan ihsan. Seseorang itu akan bergelar muslim apabila hatinya malafazkan kalimah syahadah ini dengan penuh  ikhlas tanpa sebarang pengaruh atau paksaan. (Ab. Latif Muda, 1998: 58)

         Dalam persoalan iman pula, kalimah syahadah yang dilafazkan oleh seorang muslim mestilah hadir bersama suatu pembenaran hati yang sebenar-benarnya seiring dengan keikhlasan dihatinya. Tanpa keikhlasan, iman dihati mereka adalah sia-sia kerana ianya tidak bermatlamatkan kepada Allah s.w.t. Hal ini demikian kerana apa yang dibingcangkan dalam persoalan islam dan iman adalah mengenai  sesuatu yang lahir daripada hati seseorang tanpa sebarang paksaan. Maka keikhlasanlah yang menjadi tonggak utama kepada kedua-duanya kerana sesuatu yang bersifat akidah dan kepercayaan bukanlah tertegak atas landasan paksaan tetapi dengan kerelaan hati individu itu sendiri. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللهِ اﻹِسْلَامُ..
“ sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah adalah islam”
(al-Qur’an,3: 19)

             Manakala ihsan pula ialah suatu perasaan yang wujud di dalam hati manusia yang merasakan  bahawa Allah sedang melihat setiap  perilakunya tidak kira walau dimanapun mereka berada. Sebagaimana hadis Nabi s.w.t yang menyebutkan mengenainya:

أَنْ تَعْبُدَ الله كأَنَّكَ تَرَاهُ فَاِنْ لَمْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ
“ hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, jika engkau tidak dapat melihatnya maka percayalah bahawa Dia melihatmu.”
(HR: Muslim)

Ihsan ini tidak akan hadir dalam diri seseorang ketika beribadah atau melakukan sesuatu perbuatan melainkan dengan wujudnya sifat ikhlas di dalam hati si pelakunya. Orang yang berjaya mendapakan ihsan dalam setiap amal perbuatannya adalah merupakan orang yang benar-benar hebat iman dan ikhlasnya.

      Oleh yang demikian, islam itu diakui sebagai tingkat pertama dalam melaksanakan sesuatu ibadah . Seterusnya diikuti pula oleh iman dan ihsan. Namun, apa yang ingin ditekankan di sini adalah ketiga-tiga elemen  penting ini tidak akan dapat bercampur dengan sebati melainkan dengan wujudnya sifat ikhlas biarpun hanya sebesar zarah. Hal ini merupakan suatu bukti yang kukuh bahawa jika islam, iman dan ihsan itu adalah tunjang utama kepada setiap amalan, maka benihnya adalah ikhlas. Andainya benih itu rosak, maka pincanglah segalanya.

P/S: huraian di atas belum cukup mendalam utk dibuat rujukan sebab spatutnya perbincangan nie berada pada tahap tulisan ilmiah @ tesis.
                              


No comments:

Post a Comment